Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata strategi menukar formasi daripada 5-3-2 kepada 4-5-1 pada minit ke-30 perlawanan selepas ketinggalan 2-0 bukan sahaja berjaya mengekang asakan pihak lawan tetapi juga memberi momentum kepada pasukan itu untuk menghasilkan gol.

"Formasi itu berjaya membuahkan hasil sekali gus memberi tekanan pada bahagian tengah JDT dan mengunci pemain tengah iaitu kapten mereka, Harris Harun dan kita berjaya menghasilkan dua gol," katanya dalam sidang media selepas permainan tamat di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini, semalam.

Abu Bakar berkata kutipan satu mata adalah mata berharga buat pasukannya terutama apabila berdepan dengan pasukan JDT yang sentiasa menampilkan permainan cemerlang.

"Di awal permainan kita dihukum oleh JDT sehingga momentum dan karakter pemain kita sedikit perlahan namun semangat juang pada separuh masa kedua berjaya menambah gol untuk mengutip satu mata pada perlawanan ini," katanya.

Pada perlawanan itu, JDT berjaya menghasilkan gol pendahuluan menerusi sepakan Gonzalo Cabrera pada minit ke-10 sebelum penyerang tersebut menambah satu lagi gol tiga minit selepas itu meletakkan JDT di depan 2-0.

PKNP berjaya menjaringkan gol melalui sepakan penalti Yashir Pinto pada minit ke-35 selepas Mauricio Dos Santos Nascimento mengasari Mohamad Hafiz Ramdan dalam kotak penalti.

Separuh masa kedua menyaksikan PKNP berjaya memperkemaskan permainan sebelum gol penyamaan terhasil pada minit ke-78 menerusi rembatan Giancarlo Lopes yang menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata beliau tidak menafikan gol jaringan penalti PKNP sedikit melemahkan semangat pemainnya namun mereka bangkit pada separuh masa kedua namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila tidak berjaya menambah gol untuk membawa pulang tiga mata.

"Mungkin (penalti yang diberikan kepada PKNP) menjadi antara punca. Saya rasa penaltinya tidak baik buat kami terutama ketika hampir separuh masa pertama tetapi kita perbetulkan pada separuh masa kedua, kita menguasai bola tetapi tidak dapat menambah jaringan.

"Kita akan cuba perbaiki keadaan untuk memenangi perlawanan seterusnya di Larkin nanti," katanya. - BERNAMA