Kelmarin, badan bola sepak Eropah, UEFA me­ngumumkan Griezmann, 25, sebagai pemain terbaik kejohanan selepas bintang penyerang Pe­rancis itu menamatkan kempen selaku penjaring terbanyak dengan enam gol.

Penyerang Atletico Madrid itu bermula perlahan dalam kejohanan tersebut, malah diletakkan di bangku simpanan oleh pasukan tuan rumah selepas mempamerkan aksi di bawah keupayaan sebenar ketika menentang Romania.

Leboeuf, 48, yang mewakili Perancis dari 1995 hingga 2002 berkata, Pepe yang membantu Portugal merangkul kejuaraan Eropah buat kali pertama selepas menundukkan Perancis 1-0 dalam final, Ahad lalu adalah calon paling sesuai untuk anugerah tersebut.

“Saya tidak begitu setuju dengan keputusan itu.

“UEFA sentiasa membuat keputusan sebegitu. Pemain terbaik kejohanan selalunya dimenangi oleh mereka yang menjaringkan gol terba­nyak.

“Pada kejohanan ini, anda mempunyai Pepe dan Gareth Bale yang membantu Wales. Pemain-pemain ini telah me­nunjukkan kualiti mereka.

“Pepe telah mempamer aksi terbaik sejak awal saingan berbanding Griezmann yang tidak beraksi ketika perlawanan ke­dua.

“Kami tanyakan soalan berhubung kedudukannya... Dalam perlawanan akhir dia mempu­nyai dua peluang dan tidak menyempurnakannya dengan baik, malah kami juga tidak banyak melihat dia melakukan percubaan bahaya.

“Saya suka Antoine Greizmann, namun dia bukanlah pemain terbaik untuk Euro 2016,” kata bekas bek tengah Perancis itu kepada Radio RMC.

Aksi cemerlang Pepe, 33, yang mengeluarkan 12 percubaan lawan, melakukan tiga hada­ngan dan dua asakan bersih ketika menentang Perancis membolehkannya diumum sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir. – AGENSI