Bekas pemain kebangsaan itu pada masa sama turut berharap, pemain Terengganu dapat mengekalkan konsistensi apabila pasukan kembali beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam saingan Liga Malaysia 2020.

Untuk rekod, pasukan Terengganu FC dan pasukan adik, TFC II menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk aksi Liga Malaysia pada musim ini.

“Saya sangat teruja untuk menggunakan padang SSMZA dan sudah tentu semua pemain mahukan padang yang cantik dan berkualiti untuk beraksi.

Bila padang cantik, permainan akan menjadi lagi menarik, kualiti permainan juga berbeza dan aura daripada peminat TFC yang membuatkan SSMZA menjadi satu venue yang disegani,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Mengulas lanjut, Nafuzi yakin Skuad Penyu dapat mengekalkan aksi positif dalam saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini walaupun tidak dapat menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pasukan Pantai Timur itu mengungguli carta Kumpulan A Piala Malaysia dengan kutipan sembilan mata selepas beraksi empat perlawanan, walaupun beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

“Dalam Piala Malaysia kali ni memang tak sempat nak pakai stadium itu (SSMZA), namun saya masih mengambil tahu perkembangan dan stadium tersebut mungkin boleh digunakan untuk musim depan,” jelasnya.

Pada 8 April lalu, TFC dengan kerjasama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyerahkan projek penukaran padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kepada sebuah syarikat swasta, RS Greenmaster (M) Sdn. Bhd. bagi membaiki kualiti padang. - BERNAMA