Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, beliau amat menghargai usaha penyokong untuk membantu persatuan.

"Sebelum ini, ramai penyokong menghubungi saya memberi idea ini (lancar tabung). Tidak tahu pula mereka sudah mengambil inisiatif ini. Saya tidak pasti siapa penyokong yang menggerakkan usaha ini, namun kita sangat menghargainya," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Makluman mengenai tabung sumbangan berkenaan hari ini tersebar luas di media sosial dengan orang ramai khususnya penyokong Perlis boleh memberikan sumbangan ikhlas bagi membantu Singa Utara yang sedang beraksi dalam saingan Liga Perdana ketika ini.

Kempen itu tertera : 'Sumbangan ikhlas tanda sokongan tidak berbelah bahagi untuk pasukan kesayangan kita. Kempen RM10 dari penyokong untuk penyokong'

Selain itu, turut tertera nombor akaun CIMB 8006333252 atas nama PFA.

Dalam pada itu, Ahmad Amizal turut mengesahkan nombor akaun bank tersebut iaitu atas nama PFA dan tidak menolak sekiranya penyokong ingin tampil memberikan sumbangan.

Ketika ini, Perlis berhadapan dengan kemelut bermula dengan kegagalan pihak pengurusan menunaikan janji menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain musim lalu, diikuti dengan kegagalan melunaskan gaji pemain skuad utama sehingga kepada isu tidak ada kelengkapan untuk berlatih. - UTUSAN ONLINE