PIYA

Presiden Penyokong Kelab The Red Warriors Klia (TRWC Klia) Rozaki Ab. kadir berkata, pengalaman luas yang dimilik oleh orang lama itu sememangnya ditagih untuk membimbing barisan muda ketika ini.

"Walaupun ramai yang ragu-ragu dengan prestasi pemain itu ketika ini, namun saya yakin Piya mampu membawa aura positif buat pasukan.

"Kembali semula pemain ini pastinya menyuntik semangat dalam kalangan rakan-rakan sepasukan untuk memberikan aksi terbaik bagi mengembalikan semula maruah TRW di saingan Liga Primier," katanya.

Sementara itu Presiden Kelab Penyokong TRW Kota Bharu Mohd. Zainy Mohd. Zain memberitahu, beliau optimis Piya mampu membimbing barisan muda Kelantan yang disifatkan cukup berkualiti ketika ini.

Katanya, namun begitu faktor pengalaman menjadikan pemain muda ini masih belum mampu membuatkan mereka melangkah jauh.

"Saya yakin Piya mampu menjadi 'guru' ketika atas padang bagi membantu mereka meningkatkan lagi corak permainan.

"Penyokong harus memberikan sokongan dan peluang kepada Piya untuk menyumbang kepakarannya kepada pasukan dalam menghidupkan semula jentera tengah Kelantan," ujarnya.

Utusan Malaysia 18 Mac lalu melaporkan, Mohd. Badhri yang terkenal dengan hantaran ‘gelembung buaya’ kembali bersatu dengan TRW apabila dikatakan akan mengikat kontrak bersama pasukan itu dalam masa terdekat.

Pemain berusia 37 tahun itu kembali berada dalam perancangan TRW selepas Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd mendapatkan semula khidmat anak kelahiran Kampung Atas Paloh itu. - UTUSAN ONLINE