Begitupun, dalam aksi pembukaan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu dicemari insiden kekecohan sehingga ada segelintir penyokong tuan rumah cuba menceroboh ke kawasan penonton Malaysia termasuk membaling suar.

Akibatnya perlawanan yang berkesudahan Malaysia menang 3-2 itu dihentikan hampir 10 minit. Setakat ini, Dua penyokong Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut, dan salah seorang terpaksa diusung keluar dari stadium.

Sekalipun penyokong Garuda antara yang terbaik di dunia, pengendali kelahiran Scotland itu tetap menyifatkan ‘ultras’ mereka adalah yang terburuk dalam arena bola sepak.

“Kekecohan yang dilakukan oleh penyokong adalah sesuatu yang tidak boleh saya kawal.

“Saya tidak boleh kata insiden tersebut tidak menggangu rentak permainan. Kedua-dua belah pasukan tetap mengalami kesukaran.

“Penyokong Indonesia adalah yang terbaik di dunia, namun ia juga boleh menjadi yang paling buruk, termasuk dalam bola sepak,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sejurus tamat perlawanan, pemain Harimau Malaya terpaksa dibawa menaiki kereta perisai barracuda untuk pulang ke hotel penginapan bagi mengelak gangguan penyokong tuan rumah.

Kumpulan penyokong Malaysia juga lewat meninggalkan stadium dan dibawa keluar menggunakan bas khas yang disediakan.- UTUSAN ONLINE