Bekas kapten dan pertahanan tengah City itu memberikan komen tersebut ketika ditemubual sebelum perlawanan testimoni buatnya di Etihad semalam.

"Saya tidak suka membuat perbandingan kerana perjalanan saya dan pemain lain adalah berbeza, lawan yang ditentang tidak sama.

"Bagaimanapun saya mahu memilih Virgil van Dijk. Kehadirannya mungkin tidak selama (John) Terry (Chelsea) atau (Rio) Ferdinand (Manchester United) tetapi melihat prestasinya sejak beberapa tahun lalu, dia seolah-olah sudah lama bermain di peringkat tertinggi.

"Liverpool sebelum dan selepas kehadiran Van Dijk sama sekali berbeza, dia membawa impak yang besar," kata pemain Belgium itu.

Van Dijk, 28, yang baru dinobat sebaga Pemain Terbaik Eropah turut berada dalam senarai tiga calon akhir Pemain Terbaik Dunia FIFA selepas membantu Liverpool merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara musim lalu.

Segelintir penyokong City yang tidak gembira dengan kenyataan Kompany bertindak menyerangnya dalam media sosial.

"Ini melucukan bukan? Dia tidak layak pun berada dalam senarai lima terbaik," tulis pengguna akaun Sam Lee dalam Twitter.

"Tarik balik kata-katamu Vinny (Vincent)," tulis Razman.

"Tidak...tidak. Tarik balik Vinny," kata Sagar pula. - AGENSI