Pengendali pasukan, Yusri Che Lah mengakui sedikit kecewa apabila barisan pemainnya kelihatan seolah-olah ‘takut’ untuk melakukan percubaan pada perlawanan itu.

Menurutnya, meskipun seri namun dia tetap menganggap Kelantan gagal kerana mereka amat-amat memerlukan tiga mata untuk mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Perdana.

“Sungguhpun begitu (kecewa) namun saya terima keputusan itu dengan hati terbuka dan harus diingat perjalanan masih lagi jauh.

“Ini kali pertama Kelantan mengekalkan rekod tanpa bolos, satu perkara yang positif. Walaupun kita agak lalai seketika pada babak kedua sehingga membenarkan Sarawak mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan,” katanya.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan ketandusan gol apabila peluang yang terhidang gagal terjemahkan dalam bentuk jaringan.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan yang kekal di zon penyingkiran selepas mengharungi 11 perlawanan.

Sebaliknya, ia menambah tekanan buat Yusri untuk mencari ramuan terbaik menyelamatkan Kelantan daripada terjerumus ke saingan M3 musim depan.

Yusri memberitahu, dia berharap barisan pemain Kelantan akan kembali bangkit dalam aksi berikutnya selepas ini.

Katanya, Kelantan perlu segera keluar dari zon penyingkiran kerana jika gagal berbuat demikian ia akan memberikan impak besar buat pasukan.- UTUSAN ONLINE.