Insiden tersebut berlaku ketika pendahulu liga, Hanoi FC menjadi tuan rumah kepada Nam Dinh FC di Stadium Hang Day yang menyaksikan Hanoi menang 6-1.

Ketika kedudukan 4-1, suar dan mercun melayang di dalam stadium dan salah satu daripadanya terkena penonton malang itu sehingga menyebabkan kaki kirinya cedera teruk.

Penonton yang dikenali sebagai Huyen Anh diberi rawatan kecemasan oleh petugas perubatan di Stadium Hang Day sebelum dibawa ke hospital berdekatan.

Hanoi FC dalam satu kenyataan berkata, presiden kelab dan pemain mereka, Do Duy Manh melawat peminat tersebut sejurus tamat perlawanan.

"Tidak lama selepas perlawanan derby, Huyen Anh terpaksa dimasukkan ke hospital kerana cedera terkena balingan mercun.

"Ini sesuatu yang menyedihkan dan amat malang berlaku di stadium," kata Hanoi City dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Facebook Vietnam Football mendakwa, kecederaan yang dialami Huyen Anh agak serius dan memerlukan dia menjalani dua pembedahan kerana belerang terbakar di belakang paha.

Menurut Vietnam Football lagi, seorang anggota keselamatan juga dimasukkan ke hospital akibat diserang peminat, dan pihak polis sedang giat mencari penyokong bertanggungjawab.

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) sebelum ini pernah didenda oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan badan bola sepak dunia, FIFA gara-gara penyokong membaling suar ketika skuad kebangsaan beraksi dalam kelayakan Kejuaraan AFC Bawah 23, Mac lalu. - AGENSI