Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, projek itu akan diberi keutamaan apabila keadaan kewangan kembali pulih kelak namun tidak memberi bayangan bila kemungkinan boleh dilakukan.

Beliau menarik perhatian, ada beberapa pemaju yang hadir mengemukakan cadangan reka bentuk bumbung termasuk dari Australia tetapi kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan.

“Kita mahu pastikan bumbung tersebut tahan dan kukuh untuk jangka masa panjang dan berfungsi dengan baik melindungi ruang ditutup dengan harga munasabah serta tidak begitu membebankan.

“Bagaimanapun, stadium itu akan tetap digunakan dari masa ke masa selagi projek belum dilaksanakan. Padang bola sepak stadium juga perlu diperbaiki segera kerana berlaku takungan air,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditanya tentang perkembangan usaha membina semula bumbung yang runtuh pada tahun 2009 itu ketika hadir menyaksikan Majlis Penyerahan Padang Lawn Bowl di Kompleks Sukan Gong Badak, hari ini.

Projek naik taraf padang bertaraf antarabangsa dengan kos RM6.15 juta berjaya disiapkan awal daripada tarikh akhir yang dijadualkan.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rosman Roslan merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); Pengarah JKR Negeri, Ir. Che Kamarudin Bahar, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Presiden Persekutuan Lawn Bowl Malaysia, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Menurut Dr. Mamad, kerajaan negeri telah melaksanakan fasa pertama projek baik pulih dan penambahbaikan prasarana di Kompleks Sukan Negeri untuk keselesaan atlet dalam latihan dan kejohanan.

“Kita berhasrat untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada atlet Terengganu. Kerajaan negeri berusaha untuk menaik taraf kemudahan sedia ada supaya menjadi venue bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau turut merujuk pembinaan asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang sedangkan dibangunkan selain menaik taraf padang hoki.-UTUSAN ONLINE