Pengarah Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo sebelum ini mengesahkan, mereka akan menjual Neymar pada harga yang bersesuaian dan pegawai dari Real serta Barcelona bersaing untuk mendapatkan tandatangan pemain tersebut.

Selain pemain Real, tonggak pertahanan Barcelona, Gerard Pique juga menghubungi bekas rakan sepasukannya itu untuk memujuknya pulang ke Camp Nou.

Bagaimanapun harga terlalu tinggi yang diletakkan oleh PSG menjadi halangan terbesar buat mana-mana pasukan untuk mendapatkan khidmat Neymar.

Real hampir pasti tidak sanggup membayar menebus harga rekod dunia 222 juta pound (RM1.05 bilion) yang dikeluarkan PSG ketika membeli Neymar daripada Barcelona, dua tahun lalu.

Skuad bimbingan Zinedine Zidane itu sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan dana bernilai 180 juta pound (RM913.89 juta) untuk membeli Paul Pogba dari Manchester United.

Sementara itu, kain rentang anti-Neymar dipasang di Le Parc des Princes, Paris semalam ketika PSG membuka tirai Ligue 1 dengan membenam Nimes 3-1.

Neymar, 27, tidak punya pilihan kecuali meninggalkan juara Perancis itu selepas beberapa kenyataan yang dikeluarkan benar-benar menguris hati penyokong PSG.

Bekas penyerang Barcelona itu berulang kali meluahkan hasrat untuk meninggalkan PSG kerana kesukaran menyesuaikan diri dengan kelab Paris tersebut, malah mengancam untuk tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan buat mereka selepas ini.

Semalam, bekas kapten Brazil itu turut digugurkan daripada pertemuan menentang Nimes. - AGENSI