Beliau berkata, walaupun masih terlalu awal untuk membuat andaian, kejayaan skuad negara mengalahkan pasukan Sri Lanka 4-1 dalam perlawanan persahabatan kelas A pada Jumaat lalu menunjukkan satu perubahan positif pada skuad negara.

“Idea membawa masuk pemain naturalisasi merupakan salah satu daripada buah fikiran yang disumbangkan Presiden FAM, (Datuk Hamidin Mohd. Amin) bagi memperbaiki mutu persembahan skuad Harimau Malaya.

“Kita perlu lakukan sesuatu dan tidak boleh hanya tunggu lagi dan inilah masa yang sesuai untuk kita sama-sama memperbaiki mutu pasukan untuk pergi ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pemain naturalisasi Harimau Malaya iaitu Mohamadou Sumareh berjaya mempersembahkan aksi cemerlang apabila berjaya meledak dua gol pada perlawanan persahabatan itu di Stadium Sugathadasa, Colombo, Sri Langka.

Skuad bimbingan Tan Cheng Heo dijadualkan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan kelas A menentang pasukan Republik Kyrgzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Selasa ini.

Mohd. Yusoff berkata, ini bukan bermakna FAM menukar keseluruhan pasukan dengan pemain naturalisasi sebaliknya kehadiran mereka adalah bagi membantu pasukan yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemain tempatan.

Beliau berharap kehadiran pemain naturalisasi juga sedikit sebanyak memberi semangat kepada pemain tempatan beraksi secara bersungguh-sungguh dan menjadikan kerjaya pemain kebangsaan sebagai puncak kerjaya hidup mereka.

“Kehadiran pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya bukan untuk selamanya, sebaliknya khidmat mereka tidak diperlukan lagi sekiranya kita telah mampu melahirkan pemain bertaraf dunia sendiri,” katanya.

Mohd. Yusoff berkata, sebagai contohnya pasukan Jepun tidak lagi mengambil pemain naturalisasi apabila mereka mampu melahirkan pemain sendiri.

“Soal keaslian atau ‘originaliti’ pemain dalam skuad kebangsaan bukan satu perkara besar, apa guna jika semua pemain adalah ‘original’ tapi sering kalah dan nak lepas peringkat ASEAN pun susah,” kata Mohd Yusoff.

Beliau berkata, perubahan positif dalam skuad Harimau Malaya diharap dapat mengubat kerinduan peminat sukan bola sepak negara yang sudah lama dahagakan kemenangan.

“Saya harap perubahan ini walaupun masih awal dapat memberi nafas baharu skuad negara menghadapi saingan menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember ini,” katanya. - BERNAMA