Kata Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya lagi, pengalaman yang dikutip dua pemain muda, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhammad Danial Haqim Draman sepanjang beraksi dalam Kejuaraan AFC bawah 23 (B-23) memberi ‘keuntungan’ kepada pasukan itu.

“Ia adalah kekuatan tambahan kepada pasukan kerana ternyata mereka telah menunjukkan kualiti yang bagus sehingga diberi kepercayaan untuk mewakili negara.

“Justeru, saya berharap agar pemain muda dapat menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Piya antara pemain senior yang digugurkan pada musim lalu selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat pemutihan berikutan isu tunggakan gaji pemain.

Begitupun, selepas beberapa bulan berkelana termasuk beraksi bersama Perlis, Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) yang kini menguruskan The Red Warriors mengambil keputusan untuk mendapatkan kembali pemain berpengalaman itu.

Mengulas lanjut, Mohd Badhri berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk membentuk keserasian dengan pemain muda walaupun baharu seminggu menyertai latihan bersama mereka.

“Saya kini memberi lebih tumpuan terhadap arahan jurulatih dan akan menggunakan arahan-arahan tersebut ketika sesi perlawanan nanti.

Sudah tentu saya mahu memberikan aksi terbaik untuk pasukan dan tidak mustahil Kelantan mampu ke Liga Super musim depan,” katanya. - BERNAMA