Tonggak berpengalaman Mohd. Badhri Radzi atau Piya berkata, fokus itu penting bagi memastikan barisan pemain tidak mudah hilang punca samada ketika sedang mendahului lawan atau ketinggalan.

Menurutnya, bukan itu sahaja rakan-rakan sepasukan turut diingatkan supaya tidak membuat kesilapan mudah yang menyebabkan Kelantan mudah dihukum pasukan lawan.

“Kesilapan mudah akan menyebabkan Kelantan dihukum oleh pasukan lawan.

“Jadi kita perlu sentiasa waspada dan bermain sebagai satu pasukan sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya di sini hari ini.

Piya memberitahu, kehadiran semula beberapa tonggak seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat akan memperkasakan semula pasukan.

Katanya, meskipun bakal berdepan tugas sukar namun dia tetap optimis Kelantan mampu melangkah ke pusingan berikutnya seadainya bermain sebagai satu pasukan dan mengikut setiap percaturan jurulatih.

“Berdepan Selangor bukan tugas mudah. Mereka pastinya mahu layak ke pusingan berikutnya

“Tambahan pula mereka baru sahaja mencatatkan kemenangan dalam saingan liga sebelum bertandang ke Kota Bharu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE