Tonggak pertahanan TRW, Shahrul Nizam Ros Hasni berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Yusri. Menurutnya, Yusri bukanlah individu asing buat barisan pemain Kelantan kerana mereka pernah bersama pada musim lalu selain sudah masak dengan percaturan tektikal jurulatih itu.

“Kami akan memberikan sepenuhnya kerjasama dan komitmen sepenuhnya sebaik sahaja beliau memulakan tugas.

“Hal ini dalam usaha memulihkan semula prestasi pasukan yang tidak menentu ketika ini,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas dalam majlis penutup Kem Bola Sepak Anjuran Unit Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Chetok Dengan Kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas Bersama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan MSN Kelantan di SK Chetok dekat sini hari ini.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan Muhammed Imaran Mansoor.

Yusri sebelum ini pernah menggalas tugas pembantu jurulatih Kelantan pada 2018 sebelum bertindak sebagai jurulatih sementara pada tahun yang sama.

Biarpun mendapat tawaran untuk meneruskan tugas bagi menghadapi musim 2019, dia bagaimanapun memutuskan untuk menyertai Kuala Lumpur, sebelum meletak jawatan pada 11 Mac lalu.

Sepanjang membimbing Kelantan musim lalu, Yusri berjaya membawa pasukan itu melangkah ke suku akhir Piala Malaysia. -UTUSAN ONLINE