SATWANT SINGH

PBNS kesal dengan tindakan PFAM apabila tidak memberikan laporan tepat terhadap kes tunggakan gaji Alex De Moraes di mana badan induk negeri itu sebenarnya telah menjelaskan hutang bekas pemain import mereka lebih awal.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kehormat PBNS, Satwant Singh yang menyatakan pihaknya berasa kecewa dengan tindakan melulu PFAM yang mencemarkan nama baik PBNS.

Ini kerana Satwant menegaskan, bayaran baki tunggakan gaji De Moraes telah dijelaskan pada 2 Ogos lalu, sekali gus menepis kenyataan yang dibuat oleh PFAM.

“Kenyataan tidak benar dikeluarkan PFAM. PBNS telah menjelaskan bayaran baki tunggakan gaji pemain tersebut 2 Ogos lalu, manakala PFAM membuat tuduhan bahawa PBNS mempunyai tunggakan gaji pada 4 Ogos 2019.

“Apa yang mengecewakan apabila pada 6 Ogos 2019, PFAM menyatakan tunggakan gaji baharu diselesaikan oleh PBNS. Kami amat kecewa dengan kenyataan mengelirukan itu. Diharap perkara ini tidak diambil ringan dan rujuklah kepada PBNS untuk dapatkan status sebenar,” katanya. - UTUSAN ONLINE