Terdahulu, tuan rumah berada di depan selepas Lazarus Kaimbi menanduk masuk hantaran lintang Ali Hanafiah Zarudin pada minit ke-14, namun jaringan pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila skuad The Fighters menyamakan kedudukan menerusi S. Chanturu 14 minit berselang.

Calon Anugerah Puskas, Herold Goulon kemudian mempamerkan gadingnya walaupun dia merupakan pemain pertahanan Tok Gajah dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-72.

Pada 16 minit kemudian, Dickson Nwakaeme menamatkan perjuangan anak-anak buah Nidzam Jamil apabila menjaringkan gol ketiga Pahang.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 23 Mei lalu menangguhkan aksi Liga Super antara Pahang dan FELDA United FC dua hari kemudian bagi menghormati Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat di Institut Jantung Negara (IJN).

Perlawanan Liga Super musim ini bakal menutup tirainya pada minggu ini menyaksikan juara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu pada Jumaat ini; diikuti Pahang-Melaka United, PKNS FC-Selangor (Sabtu); Felda United-Kedah, Perak-Kuala Lumpur, Petaling Jaya City- PKNP FC (Ahad).- UTUSAN ONLINE