Pahang yang membolot PERR dan Piala Agong dengan menewaskan Terengganu 1-0 dan Pulau Pinang 3-1, tahun lalu, ditempatkan di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah, bersama-sama Kumpulan B dan D, seperti yang diputuskan dalam majlis undian di Wisma FAM di sini hari ini.

Terengganu sebaliknya yang diundi dalam Kumpulan B yang bermain kurang perlawanan berbanding Pahang apabila bakal berdepan muka baharu, Kingstown Klang, pasukan jemputan luar negara Singapura dan juara PERR 2017 - Pulau Pinang.

Tuan rumah edisi ini, Kedah dan jiran utaranya, Perlis yang dilarang bermain dalam Liga Malaysia musim ini selain Perak dan Kuala Lumpur pula menganggotai Kumpulan D

Hanya Kumpulan Ayang menempatkan muka baharu, Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Selangor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) FC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Sukan India Malaysia (MISC) akan bersaing di Stadium Mini Jitra dan Politeknik Sultan Abdul Halim Shah (Polimas).

Saingan pusingan awal bermula dari 14 hingga 19 September, diikuti 27 hingga 29 September bagi pusingan suku dan separuh akhir manakala perlawanan akhir antara 12 atau 13 Oktober bergantung kepada venue antara dua finalisnya.

“Kelainan dalam kejohanan kali ini ialah kami mengehadkan umur penyertaan pemain kepada hanya 35 tahun ke bawah dan setiap pasukan wajib mempunyai dua pemain bawah 21 tahun dalam kesebelasan utama malah hanya boleh digantikan dengan yang seusianya.

“Hadiah wang tunai juara dan naib juara PERR tahun ini diturunkan kepada RM40,000 dan RM20,000. Yuran penyertaan sebaliknya dinaikkan bagi menampung kos penganjuran,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Datuk Kamarulnizam Mohd. Sharip.

Perlawanan pembuka tirai 2019, Piala Agong antara Pahang dan Terengganu pada 7 September ini katanya dijangka disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli hadir ke Stadium Mini Kompleks Sukan Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang.

“PERR di Kedah juga membuka peluang peminat-peminat bola sepak negeri jiran, Perlis mengubati kerinduan terhadap pasukan mereka yang tidak dapat beraksi dalam Liga Perdana dan Piala FA musim ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE