Biarpun hanya menang tipis, namun kemenangan itu begitu bermakna buat anak-anak buah Dollah Salleh yang kini menghambat pasukan tangga kedua, Perak dengan satu mata di belakang.

Gol kemenangan Tok Gajah diperoleh pada minit ke-26 menerusi jaringan Issey Nakajima.

Jaringan itu bermula daripada sepakan percuma Nor Azam Azih yang ditanduk Safuwan Baharuddin dalam perebutan dengan penjaga gol PKNS, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin sebelum mudah ditanduk Issey untuk gol pertama skuad Tok Gajah.

Tersentak dengan jaringan itu, PKNS cuba menggadakan asakan bagi mencari gol penyamaan namun gagal kerana hanya Bruno Matas berseorang melakukan asakan tanpa dibantu oleh rakannya yang lain.

Bruno Matas memperolehi peluang keemasan menyamakan kedudukan pada minit ke-40, namun bola tolakkannya berjaya ditepis penjaga gol Pahang, Helmi Heliza Elias.

Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan memiliki beberapa peluang terbaik bagi menjaringkan gol namun gagal disempurnakan oleh jentera serangan masing-masing.

Biarpun tambahan masa selama empat minit diberikan pengadil Suhaimi Mat Hassan, PKNS tetap buntu mencari gol penyamaan sekali gus tiga mata penuh buat skuad Tok Gajah. - UTUSAN ONLNE.