Bagaimanapun, kegagalan Red Devils melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan menghancurkan harapan bintang bernilai 198 juta pound (RM1.016 bilion) itu untuk menjadikan England sebagai jalan keluar.

Menurut akhbar Sepanyol, Mundo Deportivo, Neymar, 27, tidak gembira di Paris, apatah lagi dia bukan bintang utama kelab itu kerana dibayangi oleh Kylian Mbappe.

Destinasi pilihannya adalah kembali ke Barcelona, namun kehadiran Antoine Griezmann baru-baru ini secara automatik memaksa Neymar melupakan hasrat untuk pulang ke Camp Nou.

Ketiadaan United dalam radar kejohanan kelab elit Eropah musim depan menyebabkan Neymar membatalkan hasrat ke England ke­rana beraksi dalam Liga Europa ibarat ‘satu langkah ke belakang’.

Tumpuannya kini beralih kepada musuh ketat Barcelona, Real Madrid atau potensi bergandi­ngan dengan Cristiano Ronaldo di Juventus. Pilihan terakhir adalah gergasi Jerman, Bayern Munich.

PSG sedar Neymar berusaha melakukan apa sahaja untuk meninggalkan Paris.

Keputusan akhir bagaimanapun bergantung kepada pemilik kelab, Nasser Al-Khelaifi selepas pengurus PSG, Thomas Tuchel mengakui, pemain Brazil itu telah menyatakan hasratnya untuk pergi.

“Saya tahu dia mahu pergi sebelum Copa America bermula. Sekarang terpulang kepada kelab dan Neymar sendiri,” kata Tuchel kepada RMC. – AGENSI