Skuad kendalian Ahmad Nazri Mohd. Nor yang mendapat julukan The Kampung Boys itu tidak akan memberi laluan mudah kepada Perak yang dua kali telah menjulang Piala FA.

Ahmad Nazri berkata, pasukannya sudah bersedia untuk berdepan anak-anak buah Mehmet Durakovic di laman sendiri.

“Perak sudah pasti menjadi pilihan namun kami akan berjuang habis-habisan dan keputusan menang atau kalah itu menjadi satu motivasi kepada pemain,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, The Kampung Boys terpaksa menolak menolak tawaran Perak untuk beraksi di Ipoh demi penyokong setia mereka.

“Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Perak sebelum ini membuat tawaran untuk ber­aksi di Ipoh kerana menyedari Jerantut kekurangan sumber kewangan.

“Kami menolak tawaran itu kerana ini peluang terbaik kami untuk berdepan pasukan dari Liga Super di hadapan penyokong sendiri,” ujarnya.

Tambah Ahmad Nazri, soko­ngan padu penyokong amat diperlukan untuk membakar semangat pemain apatah lagi berdepan juara Piala Malaysia musim lalu itu.