Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fazli Mohammad berkata, selaku pemegang terbesar saham dalam Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd., keputusan itu dibuat selepas pihaknya hilang kepercayaan dan rasa sabar terhadap Kafa yang tidak menghormati kontrak yang telah dimeterai.


Menurutnya, ekoran pembatalan perjanjian itu, beliau melalui peguamnya akan menyerahkan semula KRW Sdn. Bhd kepada pemilik asalnya iaitu Bibi Ramjani Ilias Khan yang juga Presiden Kafa sekarang.


Ujarnya, selepas kontrak dimeterai pada 24 Januari lalu, My Inspiration Sdn. Bhd menjadi pemegang saham terbesar KRW Sdn. Bhd menerusi proses pengambilalihan pegangan saham 70 peratus dimiliki Bibi Ramjani.


“Selaku Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn. Bhd dan pemegang saham terbesar, sejurus perjanjian dimeterai, Bibi Ramjani wajib menyerahkan dokumen-dokumen penting pasukan seperti akaun bank, buku cek, kontrak pemain, penajaan serta hutang lama Kafa sebagaimana yang tercatatkan dalam perjanjian.


“Namun proses itu tidak berlaku dan kami sedar proses itu mungkin mengambil sedikit masa. Jadi ruang terus diberikan kepada Bibi Ramjani sehingga 24 Mac iaitu genap dua bulan perjanjian dimeterai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Fazli memberitahu, bagaimanapun, pihaknya hanya menerima dokumen berkaitan dengan kontrak pemain Liga Perdana, Piala Presiden dan Belia sahaja pada 6 Mac ketika pertemuan antara rakan kongsi dan peguam bersama barisan kepimpinan Kafa di Bangsar, Kuala Lumpur.


Katanya, dalam pertemuan 6 Mac itu juga My Inspiration turut menyatakan hasrat untuk menarik diri dan membatalkan perjanjian yang dimeterai dengan badan induk tersebut.


“Selepas pertemuan itu, saya dan rakan-rakan kongsi masih memberi ruang kepada Kafa sehinggalah 24 Mac lalu namun Bibi Ramjani terus gagal menyerahkan dokumen-dokumen penting pasukan termasuklah akaun. 


“Pada 25 Mac lalu kami berpandangan kontrak ini akan dibatalkan,” ujarnya.


Ahmad Fadli berkata, My Inspiration ke Kota Bharu bukan untuk mengambil wang Kafa, tetapi mahu membantu menstruktur semula hutang yang membelenggu persatuan dan menguruskan persatuan serta pasukan secara lebih profesional.


Katanya, beliau turut terkilan apabila banyak pihak menuding jari kepada KRW Sdn Bhd di sebalik segala masalah yang membelenggu bola sepak Kelantan, sedangkan Bibi Ramjani sendiri gagal menyerahkan akaun bank dan buku cek kepada pihaknya.

“Kami telah bertolak ansur begitu banyak daripada segi wang ringgit yang sepatutnya bukan tanggungjawab kami. Berdasarkan senarai kami telah dahulukan RM300,000 sebagai pinjaman untuk membayar gaji pemain selain RM100,000 bagi bayaran lain. 


“Selain itu, pembatalan ini juga dibuat kerana Kafa mengambil keseluruhan hasil jualan tiket perlawanan Kelantan menentang Sabah, pada 8 Februari berjumlah RM130,000 sedangkan Kafa tidak ada hak kerana mengikut perjanjian, sepatutnya duit itu dimasukkan ke dalam akaun KRW.


“Yang saya terkilan, mereka (Kafa) tahu perkara sebenar tapi masih tuding jari kepada KRW sedangkan kita tidak ada keupayaan disebabkan kelemahan mereka,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE