Ahmad Shapawi berkata keberkesanan DNA itu yang dirangka khas, demi memastikan kemajuan bola sepak negara bergerak seiring dengan perkembangan bola sepak moden dunia, akan dapat dilihat sepanjang tempoh menjelang 2030.

“Kita ada kurang daripada 12 tahun menuju 2030 dan kumpulan terbesar yang akan bersaing ataupun mewakili Malaysia pada waktu itu datangnya daripada pemain NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) ataupun di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD).

“Maknanya secara tidak langsung apa telah disediakan (DNA) hari ni, akan memberi satu kesan kepada prestasi keseluruhan pasukan kebangsaan pada 2030,” katanya ketika ditemui pada Karnival Bakat Kebangsaan Siri Satu di MSN di sini, hari ini.

Beliau turut yakin sasaran untuk melahirkan pemain yang membawa DNA tersebut pada 2030, selaras dengan kemuncak Peta Hala Tuju FAM F:30, dapat direalisasikan. - BERNAMA