Kegagalan memanfaatkan aksi terakhir di laman sendiri itu juga menyaksikan hasrat skuad Sang Kancil untuk memperbaiki kedudukan tidak kesampaian apabila berada di tangga kelima dengan mengumpul 33 mata di belakang Kedah dan Selangor yang berkongsi 34 mata.

Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata bagi aksi bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur Sabtu ini, beliau berharap tahap kecergasan pemain kembali pulih dan memberikan yang terbaik serta konsisten di samping memperbaiki kesilapan untuk permainan lebih tersusun.

"Dengan kedudukan sekarang ia juga satu pencapaian yang baik untuk pasukan yang masih baharu seperti Melaka United, di sini saya memahami kedudukan kita bukanlah kegagalan di saat akhir tetapi kehilangan pemain seperti Liridon Krasnisqi dalam tujuh aksi di pertengahan dilihat turut memberi kesan pada pasukan.

"Sayang seribu kali sayang, tetapi selepas jendela perpindahan dengan kemasukan beberapa pemain termasuka Luka Milunovic, kita berjaya kembali mendapat rentak serta menyesuaikan pasukan sehingga dalam lima aksi terakhir termasuk di tempat lawan kita berjaya mencatat kemenangan dan apa pun yang paling penting kita akan fokus bertemu Pahang nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Dalam aksi yang disaksikan lebih 3,500 penonton seimbang itu menyaksikan kedua-dua pasukan sering mencari peluang untuk mendahului perlawanan, namun tiada sebarang jaringan dihasikan hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung kedua, anak-anak buah Zainal Abidin Hassan terus melakukan demi asakan akhirnya memperolehi gol menerusi pemain pertahanan Shukor Adan pada minit ke-54, bagaimanapun penjaring terbanyak Liga Super setakat kini Kpah Sean Sherman menyumbatkan gol di minit ke-80 sekali gus meranapkan hasrat Melaka United mengutip mata penuh.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Zainal tetap memuji barisan pemainnya yang berjaya mengekang pasukan lawan biar pun mereka berada dalam tekanan untuk mencari kemenangan bagi memperbaiki kedudukan di kelompok teratas liga.

"Sayang sekali kita tidak dapat mata penuh untuk berada di tangga ketiga, para pemain telah berusaha sedaya upaya mereka, cuma satu kesilapan telah beri peluang kepada PKNS menjaringkan gol tetapi saya tetap berbangga dengan pasukan ini," katanya. -BERNAMA