Majlis pelancaran jersi baharu pasukan itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) di Melaka Mall di sini sebentar tadi.

Skuad Hang Tuah kali ini memilih warna putih sebagai jersi utama pasukan, warna hijau digunakan sebagai jersi di tempat lawan manakala jersi kuning sebagai jersi ketiga.

Adly dalam ucapan pada majlis itu memaklumkan warna putih dipilih sebagai lambang kesucian dan kebenaran dengan moto kerajaan negeri iaitu ‘Pintar, Hijau, Bersih’.

“Warna putih menggambarkan semangat dan cita-cita baharu kita untuk bangunkan bola sepak negeri Melaka.

“Tidak rugi dalam bola sepak walaupun kita berbelanja besar kerana apa yang kita belanjakan ini adalah untuk perpaduan dan itu yang lebih penting,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan.

Pada majlis itu, peminat skuad Sang Kancil diperkenalkan dengan 23 pemain tempatan termasuk tiga bekas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim, Shukor Adan dan Razman Roslan.

Selain itu, turut mewakili pasukan Melaka United adalah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat manakala bekas penyerang Kedah, Liridon Kranisqi baru menyertai pasukan itu musim ini.

Empat lagi pemain import baharu Melaka United yang diperkenalkan ialah pemain pertahanan dari Korea Selatan, Jang Suk-Won; pemain tengah dari Montenegro, Darko Markovic dan dua penyerang iaitu Patrick Reichelt dari Filipina dan pemain Brazil, Anselmo Casagrande. - UTUSAN ONLINE