Pengurus pasukan Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang mengesahkan perkara itu berkata, pihak Williams telah dimaklumkan mengenai hal tersebut dan hanya menunggu proses dokumentasi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya berbincang dengan pihak berkaitan serta mendapatkan pandangan daripada pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain.

“Kami telah memaklumkan mengenai hal ini kepada Williams bahawa Melaka United tidak akan meneruskan khidmatnya bermula hari ini.

“Antara faktor utama ialah melihat kepada keserasian yang gagal dibentuk antara jurulatih dan pemain sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasukan.

“Berdasarkan prestasi semasa pasukan yang kian goyah, kami perlu melakukan perubahan drastik dengan segera untuk memastikan Melaka United mampu kembali memberi saingan untuk kekal dalam Liga Super,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pengendali berusia 61 tahun itu dilantik menggantikan Mat Zan Mat Aris sebagai jurulatih baharu Melaka United dengan kontrak selama setahun selepas pasukan menjuarai Liga Perdana 2016 dan layak beraksi Liga Super musim ini.

Berdasarkan rekod Williams pernah membimbing Yangon United FC ketika beraksi pada Piala AFC 2014 dan skuad bawah 16 tahun Myanmar.

Bagaimanapun, sepanjang bersama pasukan Hang Tuah, skuad bimbingan Williams hanya mampu meraih sebelas mata hasil dua kemenangan dan lima seri daripada 12 perlawanan Liga Super dan kini berada dalam zon penyingkiran.

Dalam pada itu, Mohd. Yusoff turut memaklumkan, ketua jurulatih baharu Melaka akan diketahui dalam sedikit masa lagi.

“Kami sedang meneliti senarai nama jurulatih yang akan diberi kepercayaan untuk membimbing dan menyelamatkan pasukan ini daripada terus menjadi mangsa kekalahan,” ujarnya.

Sebelum ini timbul desas desus mengenai pertukaran ketua jurulatih Melaka dan antara tiga individu yang dikaitkan dengan jawatan tersebut ialah Mohd. Azraai Khor Abdullah, K. Devan dan Datuk K. Rajagobal.