Skuad Sang Kancil yang bergelut dengan prestasi hambar di pusingan awal Liga Super, seakan kembali mendapat rentak berikutan perubahan positif barisan pemain dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat semalam.

Williams yang ditemui selepas perlawanan tersebut berkata, para pemainnya kini menunjukkan persefahaman dan keharmonian untuk bermain sebagai satu pasukan.

"Kesemua mereka memberikan mutu persembahan yang amat baik dan bertahan tanpa dibolosi pada separuh masa pertama perlawanan selain mengikut segala yang dirancangkan sehingga kembali menyamakan kedudukan dalam perlawanan itu.

"Saya gembira dengan semua pemain. Walaupun keputusan hanya seri, namun ia sesuatu yang baik kerana JDT bukannya calang-calang pasukan dan mereka mempunyai barisan pemain terbaik di Malaysia," katanya.

Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora memberitahu, sedikit kesilapan berpunca daripada kehilangan tumpuan menyebabkan pasukannya dibolosi satu gol pada minit-minit terakhir, menjurus kepada mereka terpaksa pulang dengan satu mata.

"Walaupun mempunyai kelebihan enam mata sebagai pendahulu liga namun, saya tidak mahu pasukan ini berasa selesa, tetapi mempertingkatkan mutu permainan dan terus berjuang," katanya.