Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) menerusi satu kenyataan berkata, dua pemain berkenaan iaitu Angan berasal dari Ivory Coast dan Balic dari Crotia sah menyertai skuad Sang Kancil sejak semalam.

"Semoga dengan kehadiran Angan dan Balic ke dalam pasukan ini diharap akan memperkuatkan lagi Melaka United untuk meraih kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super 2019 seterusnya membantu pasukan bersaing dalam Piala Malaysia musim ini," kata MUSA dalam satu kenyataan, hari ini.

Angan yang mampu beraksi pada posisi sayap dan penyerang pernah bersama beberapa kelab di Norway, China dan Turki, selain, membuat kemunculan pertama dalam Liga Malaysia bersama Skuad Hang Tuah.

Untuk rekod, pemain berusia 32 tahun itu pernah beraksi dalam liga bola sepak teratas Norway selama empat tahun bermula 2008 bersama kelab Lyn, Honefoss dan Molde yang menyaksikan Angan muncul penjaring terbanyak dengan 22 gol sepanjang musim 2012 ketika bersama Molde.

Musim 2013 pemain itu beraksi dalam Liga Super China bersama kelab Hangzhou Greentown selama tiga tahun sebelum menyertai Gaziantepspor iaitu kelab liga utama Turki pada musim 2016/17. Selepas itu, Angan menyertai kelab Samsunspor yang beraksi dalam Divisyen 2 Turki dan kemudiannya bermain di Liga Perdana Malta bersama kelab Mosta FC.

Sementara itu, Balic yang berusia 23 tahun berasal dari Split, Croatia boleh beraksi di posisi tengah dan pertahanan tengah sebelum ini pernah mewakili kelab Divisyen 2 Croatia, NK Dugopolje sejak 2015.

Dia merupakan pemain skuad muda beberapa kelab di negaranya termasuk kelab terkemuka, HNK Hajduk Split dan RNK Split.

Dengan kemasukan dua import berkenaan melengkapkan kuota pemain import Melaka United pada jendela perpindahan kedua, yang sebelum ini menggugurkan Liridon Krasniqi selain meminjamkan Darko Markovic ke pasukan Kuala Lumpur dan Anselmo Cassagrande ke Pulau Pinang.

Setakat ini pasukan Hang Tuah itu mengekalkan pemain import Asia, Jang Suk Won dari Korea Selatan dan pemain berasal dari Filipina, Patrick Riechelt selain membawa kembali pemain import dari Serbia, Luka Milunovic ke dalam pasukan.

Melaka United kini berada di tangga kelima Liga Super selepas 14 perlawanan dengan mengutip 19 mata selepas mencatatkan lima kemenangan dan lima kekalahan serta empat keputusan seri. - BERNAMA