Pengurus pasukannya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, langkah tersebut diambil bagi memperbaiki mutu skuad Hang Tuah yang sebelum ini mengecewakan pasukan.

"Kami menjadikan dua perlawanan terakhir ini untuk menilai pemain namun itu tidak cukup dan akan membuat perubahan pada barisan pemain pada perlawanan pusingan kedua nanti," katanya kepada pemberita malam tadi. Beliau berkata, keputusan akhir nasib pemain akan dibincangkan dengan jurulatih, Eric Williams pada minggu ini.

"Sekarang ini ada beberapa orang pemain import dalam radar kami untuk disingkirkan, namun keputusan akhir akan dibuat selepas perkara ini dibincangkan dengan jurulatih.

Mohd. Yusoff berkata, pihak pengurusan memberi kuasa penuh kepada jurulatih untuk menentukan nasib pemain import sedia ada kerana tidak ingin mendengar rungutan jurulatih bahawa beliau tidak sempat membuat pemilihan pemain apabila pemain telah sedia ada sebelum beliau sampai ke Melaka.

Beliau berkata, Melaka United memberi peluang kedua kepada Eric untuk melakukan perubahan bagi memperbaiki pasukan namun itu tidak bermakna bahawa beliau berada dalam keadaan selamat kekal bersama pasukan.

"Kami boleh buang jurulatih bila-bila masa kerana beliau tidak terikat dengan tingkap perpindahan seperti pemain, jika Eric masih gagal membentuk pasukan maka kami akan buang dia," katanya.

Beliau berkata, pemilihan pemain import baharu akan dilakukan pada awal Mei ini dan lima atau enam pemain dari Macedonia, Brazil, Australia dan beberapa negara lain lagi akan datang ke Melaka pada awal bulan depan. Katanya, Melaka United mempunyai banyak masa, lebih kurang satu bulan lebih membuat keputusan bagi memilih pemain baharu apabila tingkap pemilihan pemain akan dibuka pada 15 Mei ini.

Mohd. Yusoff berkata, selain daripada pertukaran pemain import, Melaka United turut akan menukar beberapa pemain tempatan untuk memperkuat lagi pasukan.

"Dalam memilih pemain tempatan kami akan memberi tumpuan kepada pemain yang mempunyai kualiti Liga Super yang tidak berkesempatan bermain dalam pasukannya kerana pasukan mempunyai banyak pilihan pemain dalam posisinya," kata beliau.

Katanya, pihaknya kini dalam rundingan untuk mengambil beberapa pemain pasukan Johor Darul Ta''zim 2 (JDT2) dan proses rundingan tersebut berjalan lancar. - BERNAMA