Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Adly Zahari berkata, pihaknya telah menyelesaikan tunggakan gaji hingga bulan Julai dan MUSA kini berusaha untuk membayar sepenuhnya gaji pemain bagi Ogos dan September.

“Tunggakan gaji pemain hingga bulan Julai telah dibayar sepenuhnya dan selepas ini kita akan membayar baki dua bulan gaji tertunggak (Ogos dan September) pada bulan November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Melaka United sebelum ini menghadapi isu tunggakan gaji pemain apabila MUSA menghadapi masalah penerimaan tajaan setelah pertukaran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Sementara itu, Adly memberitahu, Melaka United tidak bercadang untuk menggugurkan khidmat pemain-pemain importnya pada musim depan meskipun pasukan tersebut berdepan dengan masalah kewangan.