Skuad Cherries masih ingat bagaimana bintang England tersebut menjadi pemusnah, ketika mereka bertemu pemain itu buat kali pertama dalam saingan Piala FA di Stadium Vitality pada 2014. Liverpool menang 2-0.

Sterling, 25, kemudian meledak hatrik pertama dalam kariernya ketika membantu City membelasah Bournemouth 5-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Oktober, 2015.

Dia juga meledak gol dan mencipta gerakan dua untuk lagi jaringan City ketika membelasah Bournemouth 4-0 dalam aksi liga 2017, dan secara keseluruhan Raheem telah membocori gawang skuad Cherries enam kali dalam tempoh lima tahun.

Rekod hebat City ketika berdepan Bournemouth, ditambah prestasi baik Sterling ketika ini meletakkan skuad The Citizens sebagai pilihan untuk membawa pulang tiga mata apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi ketiga liga musim ini di Dean Court esok.

Pengendali Bournemouth, Eddie Howe berkata, sesiapa sahaja pasti akan gerun apabila menentang City, apatah lagi mereka tidak pernah me­ngalahkan juara Liga Perdana itu.

Bagai­manapun, dia melihat rekod buruk pasukannya sebagai motivasi untuk memahat kemenangan sensasi yang pasti akan menjadi bualan jika City berjaya ditumbangkan.

“Ia memberi inspirasi dan motivasi kepada saya.

“Semua pemain sedar dan amat bersemangat untuk merubah sejarah. Kami tidak sepatutnya terus menderita dengan rekod buruk setiap kali menentang Manchester City,” katanya dalam sidang akhbar. – AGENSI