Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, pemilihan Manzoor Azwira yang juga pernah menjadi Ketua Jurulatih Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF FC) dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim lepas, disifatkan beliau sebagai tepat.

Ini kerana kata beliau, Manzoor Azwira bukan sahaja berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan, malah pernah membawa Pasukan Singa Utara menjulang beberapa piala sebelum ini sebagai pemain.

"Manzoor Azwira juga dilihat mempunyai semangat yang kuat untuk membawa Pasukan Singa Utara kembali sebagai pasukan yang disegani dan kata sepakat (pemilihannya) telah pun dicapai lebih awal.

"Kita mahu seorang ketua jurulatih yang 'ada hati' dengan PFA, mempunyai naluri ingin menjadi juara dan hendak menang," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Exco PFA yang pertama di sini, hari ini.

Mengenai isu tunggakan gaji pemain PFA, beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan barisan pemain 2018 secara berasingan iaitu pada Isnin depan bersama pemain Liga FAM diikuti keesokannya, pemain Piala Presiden dan seterusnya pemain Piala Belia.

Katanya, dalam pertemuan itu, pihaknya berharap akan dapat mencari mekanisme terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya sebagai presiden yang baharu ingin terlebih dahulu mendengar luahan daripada para pemain dan berharap agar kesemua mereka akan dapat hadir pada tarikh-tarikh berkenaan," ujar beliau.

Beliau memberitahu, selepas itu, barulah pihaknya akan bertemu dengan barisan pengurusan PFA musim 2018.

Dalam pada itu, difahamkan, gaji pemain yang tertunggak adalah antara empat hingga enam bulan.

Ahmad Amizal Shaifit turut memaklumkan bahawa dua tarikh telah ditentukan PFA untuk mengadakan sesi pemilihan secara terbuka bagi mencari pemain-pemain Pasukan Singa Utara musim depan yang akan berlangsung pada 22 Oktober di Perlis manakala di Kuala Lumpur pada 29 Oktober.

"Kita akan utamakan anak-anak jati Perlis dan sehubungan itu menjemput mereka yang berminat untuk turun menyertai sesi pemilihan nanti," katanya. - UTUSAN ONLINE