Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer ditimpa kekalahan keenam daripada lapan perlawanan dalam semua pertandingan dan ini bermakna mereka masih kekal keciciran dua mata daripada kelompok empat terbaik.

Kekalahan itu juga adalah yang terburuk dialami United, musim ini, dan penyokong Red Devils nyata tidak gembira apabila tindak balas Solskjaer sewaktu rehat babak pertama menentang Everton dengan membawa masuk Ashley Young.

Pemain antarabangsa England itu di bawa masuk dari bangku simpanan bagi menggantikan Phil Jones, pada ketika United ketinggalan 0-2 di Goodison Park. Bagaimanapun, perubahan yang dilakukan pengendali dari Norway itu jelas memakan diri apabila United terus dibolosi sebaik permainan disambung semula.

Untuk bersikap adil, sama ada menurunkan Jones ataupun Young, sebenarnya Solskjaer tidak boleh dipesalahkan sepenuhnya kerana dia mewarisi sebuah pasukan yang lemah di Old Trafford.

Pada perlawanan itu, empat gol Everton diledakkan oleh bintang muda Brazil, Richarlison (minit ke-13), Gylfi Sigurdsson (minit ke-28), Lucas Digne (minit ke-56) dan Theo Walcott (minit ke-64). - AGENSI