Ketua Jurulatih Perlis, Manja Man berkata, FAM memutuskan perkara tersebut dalam satu mesyuarat pada 3 September lalu, namun sehingga kini belum ada sebarang bayaran dibuat kepada kesemua 37 individu berkenaan termasuk 29 pemain.

“Pemain tidak ada sumber pendapatan lain sehingga ada antara mereka yang gagal menjelaskan bayaran ansuran kenderaan menyebabkan kereta mereka ditarik pihak bank.

“Kalau diikutkan, esok tarikh akhir ditetapkan FAM untuk mereka jelaskan tunggakan gaji selama enam bulan, dan kami sangat berharap ada bayaran dibuat esok,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub berkata, selain Terengganu City yang turut mempunyai isu tunggakan gaji, PFA berdepan tuntutan tunggakan gaji paling tinggi berjumlah RM461,500.

Jika gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh ditetapkan, perkara berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi. - BERNAMA