Ahli Lembaga Pengarah KRW Sdn. Bhd. yang baharu, Syed Abdullah Syed Mahmmod berkata, dia mempersoalkan tindakan tersebut selepas mendapat tahu kesemua wang hasil kutipan yang dianggarkan berjumlah RM120,000 itu tidak dimasukkan ke dalam akaun syarikat.

Menurutnya, wang kutipan itu perlu dipulangkan semula kepada KRW Sdn. Bhd atau pihak berkenaan bakal berdepan tindakan lanjut.

“Kami (KRW Sdn. Bhd) tiada wang (dalam akaun ketika ini) dan ia amat diperlukan untuk tujuan pembayaran gaji pemain.

“Jadi kembalikanlah (wang) untuk pemain TRW. Kalau duit itu masuk ke akaun (KRW Sdn. Bhd) tetapi tidak bayar, itu cerita lain.

“Tetapi....kalau tak masuk (dalam akaun KRW Sdn. Bhd) itu menjadi persoalan dan skripnya pasti berbeza,” katanya kepada pemberita selepas majlis bual bicara secara langsung menerusi laman sosial Facebook, di sini malam tadi.

Utusan Malaysia 4 April lalu melaporkan My Inspiration Sdn. Bhd. membatalkan serta-merta perjanjian menguruskan pasukan Kelantan yang dimeterai dengan Kafa sebelum ini.

Pembatalan kerjasama itu dibuat selepas pihaknya hilang kepercayaan dan rasa sabar terhadap Kafa yang tidak menghormati kontrak yang telah dimeterai.

Bukan itu sahaja, tindakan tersebut diambil MyInspiration selepas kecewa dengan tindakan Kafa yang mengambil keseluruhan hasil jualan tiket perlawanan Kelantan menentang Sabah, pada 8 Februari berjumlah RM130,000.

Menurut mereka, Kafa tidak ada hak kerana mengikut perjanjian, sepatutnya duit itu dimasukkan ke dalam akaun KRW. - UTUSAN ONLINE