Ahli Lembaga Pengarah KRW Sdn. Bhd. yang baharu, Syed Abdullah Syed Mahmood berkata, dia mempersoalkan tindakan tersebut selepas mendapat tahu kesemua wang hasil kutipan yang dianggarkan berjumlah RM120,000 itu tidak dimasukkan ke dalam akaun syarikat.

Menurutnya, wang kutipan itu perlu dipulangkan semula kepada KRW Sdn. Bhd atau pihak berkenaan bakal berdepan tindakan lanjut.

"Kami (KRW Sdn. Bhd) tiada wang (dalam akaun ketika ini) dan ia amat diperlukan untuk tujuan pembayaran gaji pemain. Jadi kembalikanlah (wang) untuk pemain TRW. Kalau duit itu masuk ke dalam akaun, itu cerita lain.

"Tetapi, kalau tak masuk (dalam akaun) itu menjadi persoalan dan skripnya pasti berbeza," katanya kepada pemberita selepas majlis bual bicara secara langsung menerusi laman sosial Facebook, di sini, malam tadi.

Syed Abdullah memberitahu, pihaknya merancang untuk menggunakan hasil jualan tiket perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, bagi melunaskan gaji pemain TRW, musim ini, sebagai usaha membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda Kafa.

Jelasnya, aksi menentang PDRM malam esok menjadi titik permulaan kepada langkah berkenaan yang kemudian akan diteruskan sehingga akhir musim ini.

“Segala hasil kutipan tiket akan digunakan untuk bayar gaji pemain dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan dan timbalannya Datuk Seri Affandi Hamzah. Tugas Kafa selesaikan bayaran sewa stadium dan belanja pengurusan semasa perlawanan,” ujarnya.

Syed Abdullah yang juga Presiden Kelab Penyokong Kafa berkata, untuk tahun ini, KRW Sdn. Bhd hanya akan membantu melicinkan dan mengurangkan kos yang ditanggung TRW, selain, menarik penyokong ke stadium.

“Saya amat menitik beratkan soal kebajikan pemain. Jangan sesiapa membuat onar dengan pemain TRW. Tak kira presiden atau barisan exco Kafa, jika ada membuat onar maka mereka perlu berdepan dengan saya,” tegasnya.