Pelantikan Yusri menggantikan Marko Kraljevic diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan yang menyifatkan bekas bintang tengah Perlis itu sebagai orang paling layak memulihkan TRW.

Selepas tersingkir daripada Piala FA, Kelantan yang kini menghuni tangga ketiga tercorot Liga Perdana amat memerlukan jurulatih berpengalaman untuk memacu pasukan ke landasan yang betul.

“Selepas ketiadaan Kraljevic, saya telah meminta Yusri kembali mengendalikan pasukan bagi persiapan perlawanan seterusnya.

“Dia menandatangani kontrak semalam dan telah memulakan tugas sebaik sahaja tamat menjalani kursus kejurulatihan Pro A di Kuala Lumpur.

“Saya berharap barisan pemain dapat bekerjasama dengan Yusri,” kata Bibi Ramjani.

Yusri, 43, menggalas tugas pembantu jurulatih Kelantan pada 2018 sebelum bertindak sebagai jurulatih sementara pada tahun yang sama.

Biarpun mendapat tawaran untuk meneruskan tugas bagi menghadapi musim 2019, dia bagaimanapun memutuskan untuk menyertai Kuala Lumpur, sebelum meletak jawatan pada 11 Mac lalu.

Sepanjang membimbing Kelantan musim lalu, Yusri berjaya membawa pasukan itu melangkah ke suku akhir Piala Malaysia. - UTUSAN ONLINE