Dalam pertemuan tahun lepas, Kedah berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Melaka di pentas final sekali gus menjulang kejuaraan sulung mereka di kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, jurulatih Melaka, Jamil Hassan optimis barisan pemainnya mampu memenangi piala tersebut musim ini selepas berjaya menundukkan Kedah 3-0 dalam aksi liga yang berlangsung di Gambang.

Tambahnya, dia juga mengingatkan pemainnya agar tidak memandang mudah keupayaan Kedah kerana pertemuan di final dan liga adalah berbeza.

“Perlawanan akhir sukar diramal kerana kedua-dua pasukan mempunyai sasaran sama iaitu muncul juara. Sudah pasti pasukan lawan akan berjuang habis-habisan untuk mengekalkan kejuaraan.

“Kemenangan pada peringkat liga sedikit sebanyak memberi keyakinan buat pemain tapi saya percaya, Kedah akan turun dengan aksi berbeza pada final nanti,” kata bekas jurulatih skuad wanita kebangsaan itu.

Melaka layak ke pentas final selepas menundukkan PDRM 5-1 manakala Kedah menewaskan Selangor 3-1 di peringkat separuh akhir yang berlangsung Ahad lepas.

Sementara itu, jurulatih Kedah , Mohamad Zulkifli Jaafar menyifatkan pasukannya sebagai underdog kerana memiliki lebih 80 peratus muka baharu berbanding ketika bergelar juara musim lepas.

Jelasnya, sasaran pihak pengurusan untuk layak ke final telah tercapai maka untuk mempertahankan kejuaraan itu , pemainnya akan berjuang habis-habisan.

“Jika dibandingkan dengan barisan pemain tahun ini dan tahun lepas, pasukan saya dalam 70-80 peratus merupakan muka baharu jadi dengan tempoh empat bulan persedian mara ke final sudah baik untuk kami.

“Apa pun ini peluang terbaik untuk kami mengekalkan kejuaraan dan meraih gelaran kedua piala ini. Jika melihat kekuatan pasukan Melaka, mereka memiliki barisan yang bagus tetapi pemain kita juga tidak sabar untuk memberi yang terbaik di pentas final,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE