Pada aksi di Stadium Institut Pendidikan Jasmani, skuad kendalian ketua jurulatih P. Maniam bangkit daripada ketinggalan 0-1 hasil jaringan Pham Van Phong pada minit kesembilan sebelum menampilkan permainan berkualiti untuk mencetak tiga gol.

Episod kebangkitan Malaysia bermula pada minit ke-14 hasil jaringan penyerang Muhammad Nabil Qayyum sebelum pemain muda itu meletakkan skuad negara mendahului 2-1 selepas meledak gol kedua peribadi pada minit ke-49.

Muhammad Aliff Izwan melengkapkan kemenangan 3-1 negara pada minit ke-78 sekali gus mencerahkan peluang Malaysia merangkul kejuaraan kali kedua.

"Kredit seharusnya diberikan kepada para pemain kerana mereka memberikan 200 peratus pada perlawanan ini untuk merealisasikan misi pasukan mara ke final. Walaupun kami dibolosi awal tetapi pemain menunjukkan disiplin tinggi untuk bangkit dan mengawal permainan terutama pada separuh masa kedua.

"Saya berharap momentum dan semangat ini dapat dikekalkan pada aksi final nanti," kata Maniam selepas tamat perlawanan.

Menanti skuad negara pada final Jumaat ini adalah antara pasukan tuan rumah, Thailand dan Indonesia yang berentap dalam satu lagi separuh akhir, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara pada 2013 di Myanmar selepas mengalahkan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa penuh perlawanan. - BERNAMA