Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira negara apabila meledak dua gol untuk membantu anak-anak buah Brad Maloney mara ke perlawanan akhir kedua berturut-turut dengan menewaskan Indonesia 4-3.

Dalam aksi tersebut, Malaysia terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-19 hasil rembatan Mohd Aiman Afif Md Afizul selepas pantas menyambar bola hasil daripada sepakan percuma kapten, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Bagaimanapun, skuad B-18 negara tidak menunjukkan aksi yang konsisten apabila membiarkan Indonesia menguasai permainan dan turut melakukan asakan terhadap gawang Malaysia dari semua arah. Akibatnya, Beckham Putra Nugraha berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, skuad B-18 negara tidak menunggu lama untuk kembali berada di depan dan kali ini hasil rembatan kaki kanan Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-55 sekali gus menewaskan penjaga gol Indonesia, Ernando Ari Sutaryadi.

Beraksi di atas permukaan padang yang tidak rata tidak menjejaskan rentak bagi kedua-dua pasukan apabila mereka saling mengasak dan ketika permainan berbaki 10 minit, Indonesia menyamakan kedudukan menerusi percubaan Muhammad Fajar Fathur Rachman berpunca daripada hantaran David Maulana.

Drama semakin mendebarkan apabila giliran Indonesia berada di depan hasil jaringan pemain gantian, Muhammad Salman Alfarid selang dua minit kemudian sebelum Malaysia kembali menyamakan kedudukan hasil penalti Harith Haiqal minit ke-85 setelah Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid dijatuhkan dalam kotak penalti.

Permainan terpaksa diheret ke masa tambahan dan pada minit ke-99, Harith Haiqal muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan berpunca daripada hantaran Mukhairi Ajmal untuk mara ke final, Isnin ini.

Malaysia akan bertemu juara empat kali, Australia atau Myanmar dalam perlawanan akhir, Isnin ini. - UTUSAN ONLINE