Meulensteen yang pernah membantu Manchester United menjulang trofi Liga Juara-Juara ketika menjadi pembantu Alex Ferguson berkata aksi tersebut juga memberi peluang kepada pemainnya membiasakan diri beraksi dalam cuaca panas.

Australia diletakkan dalam Kumpulan H bersama Korea Selatan, Taiwan dan tuan rumah, Kemboja yang akan diadakan di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada 22 hingga 26 Mac.

“Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu dan perlawanan ini penting untuk pemain mencipta kombinasi antara satu sama lain dan kami perlu biasakan diri untuk bermain dalam cuaca panas dan kelembapan yang tinggi.

“Perlawanan ini juga realistik untuk kami melihat di mana tahap permainan kami dan kami berharap dapat melakukan persiapan dengan baik sebelum menghadapi kejohanan Kejuaraan AFC B-23 nanti,” katanya kepada pemberita di Stadium Shah Alam hari ini.

Australia sebelum ini turut mengadakan aksi persahabatan bertemu PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis lalu yang menyaksikan mereka tumpas 0-2.

Dalam pada itu, Meulensteen yang pernah membantu United menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) tiga kali berharap pemainnya mampu meningkatkan prestasi masing-masing.

“Pasukan ini dibentuk pada Ogos lalu jadi lebih banyak mereka bermain bersama lagi bagus kerana mereka perlu belajar bagaimana mencipta peluang dan menterjemahkannya selain mengawal permainan dengan baik,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE