Firmino diketepikan sewaktu Liverpool membelasah Huddersfield 5-0, Sabtu lalu, ekoran kecederaan pangkal paha.

Daniel Sturridge mengetuai jentera serangan Liverpool menentang Terriers, tetapi nampaknya pemain antarabangsa Brazil itu bersedia mendapatkan kembali posisinya untuk perlawanan di Camp Nou.

Liverpool akan terbang ke Sepanyol, hari ini, bagi mengharungi separuh akhir pertama menentang skuad bimbingan Ernesto Valverde, Barcelona pada Khamis.

Anak-anak buah Jurgen Klopp, mensasarkan untuk melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut, selepas Reds tumpas kepada Real Madrid pada 2018.

Kepulangan Firmino memberikan suntikan semangat kepada Liverpool, dalam usaha mereka untuk memberikan tentangan kepada Lionel Messi dan rakan-rakannya.

Penyerang itu meledakkan 16 gol dalam semua pertandingan pada penggal ini, selepas dia mempamerkan persembahan terbaik dalam kariernya apabila menyumbat 27 gol pada musim 2017/18.

Firmino sekali lagi mempamerkan keserasiannya bergandingan dengan rakan sepasukan, Sadio Mane dan Mohamed Salah pada jentera serangan baik di pentas domestik mahupun Eropah.

Mane dan Salah telah meledakkan 49 gol antara mereka dalam semua pertandingan penggal ini, dengan skuad bimbingan Klopp hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang kini hanya berbaki dua perlawanan.

Barca turut mengintai peluang untuk merangkul gelaran berganda, selepas mereka dinobatkan selaku juara La Liga. Jika mereka menewaskan Liverpool, kelab Catalan itu dijangka bertemu sama ada Ajax atau Tottenham di Madrid pada final Liga Juara-Juara, dan juga bakal beraksi menentang Valencia dalam perlawanan akhir Copa del Rey. - AGENSI