Jaringan sendiri ketua pasukan Norwich, Grant Hanley membolehkan Reds mendahului seawal minit ketujuh permainan.

Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Divock Origi kemudian melebarkan kedudukan 4-0 pada babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah menggandakan asakan untuk menambah gol, namun percubaan yang dicipta Salah, Roberto Firmino, Jordan Henderson serta Trent Alexander-Arnold gagal menembusi gawang.

Norwich yang kembali ke kancah Liga Perdana selepas tiga musim menghilang sebaliknya menghukum kealpaan pertahanan Liverpool menerusi rembatan Teemu Pukki pada minit ke-64.

Selepas usaha untuk menambah gol menemui jalan buntu, Reds membawa masuk Sadio Mane bagi menggantikan Firmino.

Mane yang baru menyertai pasukan selepas kembali daripada tugasan antarabangsa bersama Senegal berjaya mencipta beberapa gerakan bahaya, namun tetap gagal menokok jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan.

Liverpool juga menurunkan penjaga gol baharunya, Adrian buat kali pertama selepas Alisson terpaksa dikeluarkan di awal saingan akibat kecederaan.

Kemenangan ini pasti menyuntik semangat Reds sebelum berdepan Chelsea dalam perlawanan Piala Super pada 15 Ogos ini.

Anak-anak buah Jurgen Klopp kemudian akan menentang Southampton dalam perlawanan kedua liga pada 17 Ogos manakala Norwich bertemu Newcastle United. - AGENSI