Brendan Rodgers mengesahkan berita tersebut selepas kemenangan Leicester ke atas Scunthorpe yang turut menyaksikan Maguire diturunkan dalam babak kedua permainan.

Manchester United berminat untuk mendapatkan pemain pertahanan England itu dengan juara Liga Perdana Inggeris, City juga melahirkan hasrat sama.

Bagaimanapun, Leicester telah menetapkan harga hampir 90 juta pound (RM460 juta) untuk khidmat Maguire dan menegaskan, tiada satupun bidaan yang diterima berjaya memenuhi tuntutan mereka.

Maguire dipercayai berminat untuk ke Old Trafford, musim panas ini dengan Ole Gunnar Solskjaer menjadikan pemain itu sebagai sasaran No.1 United.

Bos City, Pep Guardiola turut berminat dengan Maguire bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan kapten, Vincent Kompany.

“Kami tidak perlu menjual Harry. Dia seorang yang bijak dan merupakan pemain handalan. Saya rasa amat penting untuk penyokong mengetahui tentang perkara ini.

“Saya pernah berada dalam situasi sebegini dan ia bukannya mudah, tetapi Harry seorang yang mengagumkan. Kami ada bercakap mengenai perkara ini.

“Dia gembira dan saya tabik cara dia mengendalikan isu ini kerana ia boleh mengganggu anda sebenarnya. Saya berasa tenang. Kami amat memahami situasi ini kerana United dan City adalah sebuah kelab besar.

“Melainkan mereka bersedia memenuhi tuntutan harga yang kami mahukan dan ia semudah itu,” kata Rodgers.

United dipercayai telah mengemukakan tawaran awal 70 juta pound (RM357 juta) untuk Maguire dan meningkatkan bidaan kepada 80 juta pound (RM408 juta), hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, tidak jelas bidaan yang dibuat United itu meletakkan mereka sebagai calon pilihan bagi mendapatkan tandatangan Maguire.– AGENSI