Kehidupan pemenang Piala Malaysia lima kali itu kian terhimpit sejak tiga jari kaki kanannya terpaksa dipotong pada 25 Mei lalu di Hospital Ampang, Selangor kerana menghidap penyakit kencing manis.

Zapril, 61, hanya memperoleh RM200 sebulan atas ihsan rakan-rakan yang tidak cukup untuk menjalani kehidupan harian malah hanya tinggal serumah dengan pekerja asing dari Bangladesh di sebuah rumah kedai di ibu kota.

“Saya cuma harapkan ada pihak yang sudi membela nasib saya sedikit sebagai bekas pemain Selangor dari 1978 hingga 1986. Saya pun sekarang kena selalu buat rawatan susulan di hospital kerajaan,” katanya.

Dengan keadaan kaki sedemikian, Zapril yang pernah bekerja di pasar raya dan pemandu selepas karier bola sepaknya, semakin sukar bergerak bebas walaupun dalam rumah selain tidak mempunyai kenderaan untuk ke mana-mana.

Zapril tidak dapat memohon bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) kerana tidak berpeluang menyarung jersi negara yang syarat minimumnya, bermain dalam Sukan SEA namun pernah tiga kali dipanggil menjalani latihan pusat skuad negara.

“Arwah Mokhtar pun pernah menyuarakan bantahan kepada seorang jurulatih yang tidak memilih saya masuk pasukan negara,” katanya yang turut membantu Selangor merangkul gelaran trebel, Liga dan Piala Malaysia 1984 serta Piala Sultan Ahmad Shah 1985.

Mujurlah segala keperluan harian setakat ini khususnya makanan dapat disediakan bekas rakan sepasukan Selangor dan pemain kebangsaan, Azhar Mohd. Sharif yang turut menyewa rumah yang sama.

Bekas sayap kanan Selangor itu juga seangkatan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang Datuk R. Arumugam, Datuk Santokh Singh, Reduan Abdullah dan Khan Hung Meng serta Azhar yang menjulang Piala Malaysia pada 1979, 1981, 1982, 1984 dan 1986.

“Ada jugalah bekas pemain Selangor datang menjenguk saya lama dulu antaranya Malek Rahman, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh. FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) belum datang tetapi tidak mengapalah,” katanya.

Pada peringkat saingan Piala FAM era 70-an hingga 90-an, dia juga pernah menyarung jersi Kelab Sultan Sulaiman, Talasco dan PKNS. - UTUSAN ONLINE