Penjaring terbanyak pada Piala Dunia 1966 itu meninggal akibat masalah jantung.

Sebelum ini Eusebio telah dimasukkan beberapa kali ke hospital bagi merawat masalah jantungnya itu.

Eusebio da Silva Ferreira amat dikenali berikutan mempunyai keupayaan melakukan penyudah yang menarik bagi mendapatkan gol.

Pemain kebangsaan Portugal, Cristiano Ronaldo adalah antara individu yang mengucapkan takziah atas kematian legenda tersebut.

"Eusebio akan sentiasa diingati kerana sumbangannya amat besar dalam sukan bola sepak," kata Ronaldo.

Semasa era kecemerlangan Eusebio, pemain yang sering menjadi seterunya ketika di atas padang ialah legenda bola sepak Brazil, Pele, bekas pemain Argentina, Alfredo Di Stefano dan Bobby Charlton dari England.

Bekas pemain Portugal itu juga lebih bersinar jika dibandingkan dengan Pele malah turut menjadi perhatian ketika membantu Benfica menewaskan Real Madrid 5-3 pada perlawanan akhir Piala Eropah.

Malah, dia pernah mengakui adalah pemain yang terbaik di Eropah.

"Saya adalah yang terbaik di dunia dan penjaring terbanyak di Eropah.

"Saya telah meraih segalanya kecuali memenangi Piala Dunia," kata Eusebio ketika ditemuramah pada 2011.

Sumbangan terbesar Eusebio ialah mengasah bakat pemain-pemain muda Portugal dan antara yang pernah mendapat sentuhannya ialah Ronaldo.

Mendiang Eusebio akan dibawa ke stadium kelab Benfica iaitu di Estadio da Luz untuk penghormatan terakhir. - AFP