Hampir 5,000 peminat menghadiri majlis perasmian pertukaran nama lapangan terbang tempatan itu daripada Madeira kepada Lapangan Terbang Cristiano Ronaldo. Pulau Madeira merupakan tempat kelahiran Ronaldo.

“Untuk melihat lapangan terbang ini ditukar kepada nama saya adalah satu perkara yang sangat istimewa. Semua orang tahu, saya berbangga dengan tempat kelahiran saya.

“Saya tidak meminta pertukaran ini, namun saya bukan hipokrit, yang mana saya akui perubahan nama lapangan terbang ini merupakan satu penghormatan besar kepada saya.

“Sudah tentu saya berasa sangat gembira,” kata Ronaldo, 32, yang mengetuai Portugal mengecapi kejayaan di pentas Eropah pada tahun lepas.

Ronaldo diangkat selaku wira Madeira selepas dinilai sebagai antara individu yang paling berjaya, menyaksikan dia kini mempunyai patung, muzium dan hotel yang dinamakan sempena namanya di Madeira.

Pemain terbaik dunia FIFA tiga kali itu merekodkan 138 penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal dan meme­gang rekod penjaring terbanyak pasukan dengan 71 gol.

Pertukaran nama lapangan terbang itu diputuskan kerajaan wilayah Madeira selepas Portugal menjuarai kempen Euro 2016 di Perancis tahun lalu. – AFP