Jelasnya, mereka hanya dikuarantin di rumah ekoran keadaan yang tidak serius dan pihak PKNS juga telah melakukan langkah pencegahan sepatutnya bagi mengelak virus itu merebak kepada pemain lain.

Semalam, skuad Red Ants dalam satu kenyataan mengesahkan, bintang import, Kpah Sean Sherman, Rodney Akwensivie dan Tamirlan Kozubaev, selain Farhan Abu Bakar antara pemain utama yang mendapatkan rawatan doktor.

“Semua lapan pemain itu telah dirujuk kepada Doktor untuk diberi rawatan dan mereka semua berada dalam keadaan stabil. Tahap kesihatan mereka ok dan tidak serius.

“Buat masa ini kita memberi mereka tempoh rehat di rumah dan saya difahamkan dalam masa dua, tiga hari ini mereka akan kembali sihat seperti biasa.

“Untuk pemain lain kita minta supaya mereka lebih berhati-hati. Kita juga telah melaksanakan langkah pencegahan supaya virus ini tidak merebak kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Disebabkan keadaan tersebut, perlawanan Liga Super antara PKNS dan Melaka United yang dijadual berlangsung di Stadium Hang Jebat malam ini terpaksa ditunda pada 16 Julai nanti oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Kita juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MFL di atas kelulusan menunda perlawanan dan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) di atas keprihatinan ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE