Perkara itu disuarakan pengendali skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak selepas menyaksikan anak buahnya tewas 0-2 kepada TFC di laman sendiri di Stadium Darul Aman di sini ketika saingan Kumpulan A, malam tadi.

Menurutnya, semua pemainnya telah menunjukkan persembahan yang baik dengan mencipta banyak peluang namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila kesemua cubaan gagal disempurnakan.

“Sebenarnya pasukan kami mendapat banyak peluang terutama pada separuh masa kedua, tetapi itulah bola sepak. Pertama kali kami kalah di Darul Aman sedangkan lebih 10 peluang kami dapat dan satu pun tidak masuk gol.

“Apa pun nasib tidak menyebelahi kami walaupun pemain telah memberikan 100 peratus tumpuan dalam perlawanan ini,” katanya yang ditemui pemberita selepas tamat perlawanan itu malam tadi.

Dalam aksi tersebut, dua gol jaringan pemain import TFC, Tchetche Hermann Brice Kipre pada minit ke-66 dan 85 menghampakan pasukan tuan rumah.

Ditanya sekiranya kekalahan itu disebabkan oleh faktor keletihan, Aidil Sharin menyangkal perkara itu dan menjelaskan bahawa pasukannya yang menjulang trofi Piala FA baru-baru ini berada dalam rentak terbaik.

“Pemain sudah buat segalanya, saya tidak tahu apa faktornya yang menyebabkan kami kalah, namun kami akan membuat penilaian dan baiki kelemahan yang ada,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Muhammad Zain berkata kemenangan pasukannya ke atas Kedah di tempat lawan sememangnya sukar dilakukan terutama apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua.

Katanya semua pemain menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi dalam perlawanan itu yang akhirnya menyebabkan tuah memihak kepada mereka.

“Kemenangan ini memberi suntikan semangat dan moral kepada pasukan bagi menghadapi perlawanan akan datang, saya bangga dengan semua pemain,” katanya. - BERNAMA