Ahli Lembaga Pengarah KRW Sdn. Bhd. Syed Abdullah Syed Mahmood berkata, pendekatan tersebut adalah langkah jangka pendek dalam usaha membantu menyelesaikan masalah kewangan yang sedang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika ini.

Menurutnya, aksi menentang PDRM malam esok menjadi titik permulaan kepada langkah berkenaan yang kemudian akan diteruskan sehingga akhir musim ini.

"Segala hasil kutipan tiket akan digunakan untuk bayar gaji pemain dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan dan timbalannya Datuk Seri Affandi Hamzah.

"Tugas KAFA selesaikan bayaran sewa stadium dan belanja pengurusan semasa perlawanan," katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi selepas program bual bicara secara langsung menerusi laman sosial Facebook.

Syed Abdullah yang juga Presiden Kelab Penyokong KAFA memberitahu, untuk tahun ini KRW Sdn. Bhd hanya akan membantu melicinkan dan mengurangkan kos yang ditanggung oleh TRW selain menarik penyokong ke stadium.

Katanya, itu juga salah satu usaha menjaga kebajikan barisan pemain TRW musim ini.

"Saya amat menitik beratkan soal kebajikan pemain. Jangan sesiapa membuat onar dengan pemain TRW.

"Tak kira presiden atau barisan exco KAFA, jika ada membuat onar maka mereka perlu berdepan dengan saya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE.